Anggota RELA Juga Benteng Utama – Idris

0
99

MELAKA: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di negeri ini perlu membuang tanggapan mereka hanya layak digelar benteng pertahanan ketiga negara selepas pasukan keselamatan lain.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata sebaliknya, mereka juga adalah benteng pertahanan utama dan sebahagian daripada penyumbang kemakmuran negara selama ini.

“Anggota RELA bukan lagi benteng ketiga tetapi pasukan keselamatan yang membantu negara menjadi aman, makmur dan berjaya setanding pasukan keselamatan lain.

“Saya mahu setiap ahli jangan berasa rendah diri, teruskan berjuang dan melaksanakan tugas demi negara kerana anda juga adalah benteng utama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan insentif kerajaan negeri kepada anggota RELA berusia 60 tahun ke atas di Dewan Serbaguna, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ayer Keroh di sini, semalam.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Roslan Ibrahim, dan Pengarah RELA Melaka, Razali Ahmad.

Pada majlis itu, seramai 199 anggota RELA berusia 60 tahun ke atas menerima sumbangan sekali beri RM300 seorang daripada kerajaan negeri.

Ada seramai 89,872 anggota RELA di Melaka daripada jumlah keseluruhan tiga juta anggota di seluruh negara.

Sementara itu, penerima sumbangan, To Ah Kau, 65, berkata beliau mula berkhidmat dalam RELA sejak lima tahun lalu selepas berhenti kerja menoreh getah.

Bagaimanapun, beliau tamat perkhidmatan di Machap, Alor Gajah, selepas diserang angin ahmar pada Julai tahun lalu yang menyebabkannya lumpuh seluruh badan.

“Saya gembira bekerja dalam RELA kerana ada semangat berpasukan, apatah lagi kerajaan negeri sentiasa menghargai keringat kami bertugas tanpa mengira cuaca panas atau hujan bagi memastikan lalu lintas lancar dalam sebarang majlis.

“Walaupun kini tidak dapat turun padang bertugas seperti biasa bersama rakan sekerja, saya tetap menghormati pekerjaan anggota RELA,” katanya.

Bagi M Paripusanom, 63, sumbangan RM300 diterima akan digunakan untuk menampung kos perbelanjaan harian kerana tidak pernah mendirikan rumah tangga dan tinggal bersama kakaknya.

Beliau bertugas di Merlimau, Jasin, sejak 2011 tetapi kini direhatkan selepas patah tangan dan cedera di kaki akibat terjatuh di dalam rumah tiga bulan lalu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here