BN tidak pernah pinggirkan wanita – Rosmah

0
203

SHAH ALAM: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah meminggirkan mana-mana wanita di negara ini, termasuk dalam kalangan masyarakat India.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata wanita India turut menerima faedah daripada segala inisiatif kerajaan, termasuk yang dijalankan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Malah, beliau berkata, ramai wanita menceburi bidang perniagaan, justeru potensi keusahawanan golongan itu sebagai antara komponen jentera penggerak ekonomi negara, tidak boleh dipertikaikan.

Sebagai contoh bawah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC), katanya, sejumlah RM203 juta diperuntukkan yang dimanfaatkan 500,000 masyarakat India.

“Sebanyak 16 peratus daripada peruntukan itu diagihkan kepada program berkaitan wanita dan ibu tunggal membabitkan 29,000 orang.

“Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membantu lebih 10,000 wanita India melalui pembiayaan perniagaan berjumlah RM140 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Wanita Kebangsaan Gerak Sakti 1Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Gerak Sakti 1Malaysia, Datuk Seri R S Thanenthiran, dan Pengerusi Gerakan Wanita pertubuhan itu, Datin Seri Vaney Thanenthiran.

Pada majlis itu, usahawan dan tokoh wanita India negara turut diraikan, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Center of Applied Data Science Sdn Bhd, Sharala Axryd; ibu tunggal, Janagi Narayanan; dan aktivis masyarakat serta kesatuan, Guramah Appanah.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here