Dewan Rakyat kecoh, Abdul Azeez digantung 2 hari

0
50
KUALA LUMPUR, 23 Okt — Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim diarah keluar daripada persidangan Dewan Rakyat hari ini dan digantung selama dua hari selepas menuduh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, bersifat berat sebelah.
Mohamad Ariff mengeluarkan arahan tersebut selepas beberapa kali meminta Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu menarik balik tuduhan itu.

“Beliau dihalang memasuki Dewan Rakyat selama dua hari. Saya minta dia keluar,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Azeez menjelaskan beliau telah menarik balik perkataan tersebut.

Tindakan Abdul Azeez yang tetap berada di dalam dewan kemudian memaksa Mohamad Ariff mengarahkan bentara menjalankan tugas membawanya keluar.

Sidang Dewan Rakyat sebelum itu kecoh apabila Mohamad Ariff menolak usul persendirian dibawa Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) berhubung isu penerbitan komik Inisiatif Jalur Lebar dan Jalan Meraih Manfaat Bersama dengan alasan ia kini dalam proses siasatan.

Keadaan itu menyebabkan beberapa beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit mempertikaikan tindakan itu sebelum pertikaman lidah berlaku di antara ahli Parlimen kedua-dua belah pihak.

Kekecohan semakin memuncak apabila Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) menggunakan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat, mempertikaikan tindakan R.S.N Rayer (PH-Jelutong) mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ kepadanya dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) semalam, sebelum Rayer menarik balik kenyataan itu setelah diarah oleh Mohamad Ariff.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.