Dr Mahathir tidak pedulikan kaum India

0
71

KUALA LUMPUR: Masyarakat India di negara ini tidak pernah mendapat penghormatan semasa zaman pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, sekali gus membuktikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak berniat untuk membangunkan masyarakat terbabit.

Naib Presiden GERAKAN, Datuk Kohilan Pillay berkata, PH hanya menabur banyak janji yang tidak munasabah dan sudah pasti tidak mungkin boleh ditunaikan.

“Banyak contoh kegagalan PH yang boleh dilihat melalui pentadbiran di Pulau Pinang dan Selangor sejak 10 tahun lalu.

“Lebih teruk, apabila Dr.Mahathir sendiri tidak menunjukkan penghormatan kepada golongan India di negara ini, bagaimana beliau ingin membangunkan masyarakat India?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata Kohilan, masalah yang dihadapi kaum India tidak selesaikan semasa pentadbiran Dr Mahathir, antaranya ramai peneroka ladang berketurunan India di sektor perladangan terpaksa berpindah disebabkan terlalu banyak kemasukan industri berat tanpa mengambil kira kehilangan punca pendapatan mereka.

“Keadaan bertambah baik apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil alih pentadbiran, yang secara nyata memperlihatkan peningkatan taraf hidup masyarakat India secara beransur-ansur dalam masa beberapa tahun, sesuatu yang tidak pernah berlaku semasa pentadbiran Dr Mahathir.

“Najib menaikkan martabat masyarakat India dan memberi mereka keutamaan dengan mewujudkan beberapa dasar seperti Pelan Induk Masyarakat India (MIB), Sekretariat Khas untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED), Unit Pembangunan Masyarakat India (SEDIC) dan lain-lain,” katanya.

Tegas beliau, pengundi India harus menilai rekod prestasi Barisan Nasional (BN) melalui Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang mencapai 99.4 peratus pelaksanaan.

“Sekali lagi Manifesto BN pada PRU14 berjanji untuk meneruskan tugas sebaiknya disamping menambah baik kehidupan masyarakat India.

“Kerajaan yang bertanggungjawab akan berpegang pada pendiriannya, bukannya berubah semata-mata untuk memancing undi kerana tindakan ini hanya akan menjejaskan negara dan masa depan generasi akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here