Jerebu: Enam stesen di Sarawak pada tahap sangat tidak sihat

0
23
PUTRAJAYA, 19 Sept — Tiada stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik hari ini, dengan enam stesen di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat, demikian menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Enam stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat pada 11 pagi hari ini ialah Kuching (272), Samarahan (226), Sri Aman (212), Sarikei (236), Sibu (244) dan Mukah (207).

“Ini adalah disebabkan oleh jerebu merentas sempadan yang berpunca daripada kebakaran hutan dan perladangan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia,” kata JAS dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut JAS, 39 stesen mencatatkan bacaan IPU tidak sihat manakala 23 stesen mencatatkan kualiti udara pada tahap sederhana.

JAS berkata kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia, bahagian barat Sarawak dan sekitar kawasan Tawau dan Sandakan, Sabah.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.