Kes bunuh Ketua Jururawat, lelaki Nigeria direman tujuh hari

0
12

SEPANG, 17 Mei (Bernama) — Seorang lelaki warga Nigeria direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamarudin, yang ditemui mati di sebuah kondominium di Cyberjaya pada Rabu.

Perintah reman berkuatkuasa hari ini itu dikeluarkan oleh Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho selepas mendengar permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Sepang.

Perintah reman dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Warga Nigeria berumur 30-an itu ditahan pasukan polis ketika berada di tingkat bawah Cheras Sentral, Kuala Lumpur, semalam.

Dia ditahan susulan tangkapan ke atas wanita Nigeria dan lelaki warga Pakistan semalam di satu lokasi di Cheras dan Setapak di mana kedua-duanya telah direman tujuh hari bermula semalam berhubung kes yang sama.

Siti Kharina, 40, dilaporkan hilang sejak 8 Mei lepas dan misteri kehilangannya terungkai apabila mayatnya ditemui pemilik kondominium yang disewanya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.

— BERNAMA

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here