Kira-kira 24,600 pekerja diberhentikan sejak sembilan bulan lepas

0
10
KUALA LUMPUR, 7 Okt — Laporan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati, 24,600 pekerja diberhentikan majikan bagi tempoh Januari sehingga September lepas, kata Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sektor pembuatan mencatatkan kehilangan pekerjaan tertinggi iaitu 7,944 orang.

Bagi membantu pekerja yang diberhentikan, kerajaan telah mengambil langkah-langkah seperti memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mulai Januari 2018 sebagai satu bentuk perlindungan keselamatan sosial kepada golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Pihak majikan juga dikehendaki melaporkan kepada JTK sekiranya ingin melaksanakan pemberhentian pekerja.

“Kerajaan menetapkan melalui Akta Kerja 1955 bagi mengutamakan pekerja dalaman dan pekerja asing diberi pilihan akhir,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang ingin tahu langkah untuk mengurangkan pembuangan pekerja dan angka terkini mengikut pecahan industri.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan Ahmad mengenai langkah kerajaan bagi membantu golongan yang hilang pekerjaan, Kulasegaran berkata rakyat negara ini dipelawa menceburi bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurutnya, analisis kementerian bersama Bank Dunia mengenai “Critical Occupation List” mendapati, dalam tempoh empat hingga lima tahun kira-kira 80 peratus pelajar jurusan akaun berkemungkinan tidak akan mempunyai pekerjaan.

“Penekanan baru yang perlu diberi perhatian ialah kita mempelawa warga negara supaya memberi perhatian kepada kerja-kerja yang ada harapan untuk dapat kerja iaitu dalam bidang TVET,” tambahnya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.