Komitmen kewangan Malaysia berkurangan susulan perjanjian ECRL– PM

0
57
PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) — Komitmen kewangan Malaysia membabitkan jumlah kemudahan pinjaman Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), akan berkurangan secara ketara susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan (SA) berkaitan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jelas Perdana Menteri, kadar faedah pinjaman itu juga akan berkurangan berikutan angka kos pembinaan yang kini berjumlah RM44 bilion iaitu pengurangan RM21.5 bilion daripada kos awal sebanyak RM65.5 bilion.

“ECRL (kini) akan menelan kos RM68.7 juta bagi setiap kilometer berbanding RM95.5 juta setiap kilometer di bawah perjanjian asal. Menerusi penambahbaikan kos ECRL pada RM44 bilion, jumlah pinjaman dari China-EXIM Bank juga akan berkurangan secara ketara.

“Jumlah sebenar yang dikurangkan itu masih lagi dibincangkan dengan pihak China-EXIM Bank. Kita menjangkakan (perbincangan itu) akan membawa kepada penyusutan beban kewangan bagi pihak kerajaan dari segi pembayaran semula pinjaman prinsipal, jumlah kadar faedah kos serta bayaran fi lain,” kata beliau pada sidang media mengenai projek ECRL itu di sini, hari ini.

Pada 12 April lepas, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) memeterai SA yang membolehkan projek ECRL yang ditangguhkan, disambung semula.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here