Laporan tidak perlu dibuat, siasatan sedang berjalan – Peguam

0
44
KUALA LUMPUR, 23 Okt — Seorang peguam yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tiada keperluan untuk membuat laporan berhubung pindahan RM42 juta ke dalam akaun anak guamnya itu oleh kerana agensi-agensi relevan telah pun memulakan siasatan tentang perkara itu.

Peguam Harvinderjit Singh berkata bila Sarawak Report mendedahkan perkara itu pada 2 Julai 2015, pelbagai agensi mula menyiasat akaun anak guamnya.

“Selepas laporan itu diterbitkan, perkara itu menjadi pengetahuan umum. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC), polis, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) telah memulakan siasatan ke dalam akaunnya pada 6 Julai, 2015.

“Menjelang Julai, setiap badan penyiasat telah melihat perkara ini… jadi apa perlunya buat laporan,” kata beliau dalam hujah pada penghujung kes pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Untuk rekod, transaksi RM42 juta ke dalam akaun bank Najib berlaku antara Disember 2014 dan Februari 2015.

Semalam, pendakwa ad-hoc Datuk V. Sithambaram berhujah bahawa tertuduh, jika ikhlas tentang wang RM42 juta yang dibayar ke dalam akaunnya, sepatutnya membuat laporan polis atau menyaman bank kerana membuat deposit tidak sah wang berkenaan yang kemudian memungkinkan akaunnya digunakan untuk pengubahan wang haram.

Sithambaram menambah, kegagalan Najib memberi perhatian terhadap langkah mudah ini menunjukkan kelahiran suara tidak bersalahnya sekarang mungkin tidak benar.

Najib, 66, menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu kesalahan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan bersambung.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.