Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru perlu rebut tawaran – Perunding hartanah

0
36
KUALA LUMPUR, 23 Sept — Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru di sini perlu merebut peluang tawaran kerajaan untuk membeli tanah kampung berusia 119 tahun itu bagi mengelakkan nilainya semakin susut pada masa akan datang, kata perunding hartanah.
Adzman Shah Mohd Ariffin yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang hartanah menyifatkan nilai tawaran RM850 sekaki persegi sebagai wajar walaupun kawasan itu terletak di tengah-tengah ibu kota kerana terdapat beberapa faktor menyebabkan nilai hartanahnya terbantut.

Beliau menjelaskan, selain status rizab Melayu, struktur dan penggunaan tanah kawasan itu turut menyumbang kepada faktor nilai hartanah menjadi lebih rendah dan tidak boleh disamakan dengan nilai hartanah berhampiran seperti Menara Berkembar Petronas yang mencecah RM3,000 sekaki persegi.

“Plot tanah yang kecil-kecil, bangunan usang yang tampak seperti kawasan setinggan selain kebanjiran warga asing yang menyewa juga menyebabkan nilai hartanah di situ ‘terkongkong’,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Adzman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif ExaStrata Solutions Sdn Bhd berkata keadaan fizikal perkampungan berkeluasan lebih 120 hektar (300.73 ekar) itu yang dipenuhi bangunan lama juga mengundang bahaya dan risiko kebakaran sekaligus memberi imej buruk dan menyusutkan nilai tanah kawasan itu.

Pemilik dan pewaris perlu berfikiran jauh mengenai tawaran itu kerana nilai hartanah kawasan berkenaan akan memberi pulangan lebih lumayan pada masa akan datang (selepas berlaku pembangunan).

” Potensi pembangunan kurang (dalam keadaan dan masa sekarang) tapi bila pihak kerajaan bawa pembangunan baharu maka mungkin harga hartanah akan naik dan pihak tuan punya dan pewaris akan mendapat harga sewajarnya,

“Namun, harga akan terbantut sampai bila-bila sekiranya mereka tidak mengambil peluang ini sekarang,” katanya.

Sungguhpun menyedari kerajaan menghadapi kekangan kewangan pada masa ini, beliau berharap kemelut yang melanda sekian lama ini berjaya diselesaikan dengan perancangan yang baik dan teratur agar wujud situasi menang-menang bagi kedua-dua belah pihak.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad pada Sabtu berkata kerajaan tawar kadar RM850 sekaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula Kampung Baru dan ia merupakan kadar tertinggi dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Selain nilai harga tanah, Khalid berkata apa-apa struktur atau bangunan di atas tanah pemilik dan pewaris juga turut akan dinilai bagi tujuan pulangan kepada mereka.

Ia bermakna jumlah pulangan yang bakal diterima oleh pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru adalah jumlah harga tanah ditambah dengan jumlah nilaian struktur di atas tanah itu.

Pada sesi townhall bersama warga Kampung Baru itu, ramai tampil mengutarakan pelbagai isu berkenaan pembangunan kawasan itu antaranya kadar tawaran rendah, pemuliharaan warisan kampung Melayu dan pengecualian cukai.

Ada juga yang memohon kadar RM850 dinaikkan kepada RM1,000, atas alasan ada lot yang mempunyai pewaris yang ramai yang bermakna mereka akan menerima pembahagian wang yang kurang.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina Jabatan Pengurusan Perladangan Universiti Malaya Prof Madya Dr Sr Anuar Alias pula berpandangan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi merupakan kadar memadai.

Tawaran itu merupakan nilai pasaran semasa yang dinilai sebagai nilai tanah kosong, namun beberapa perkara perlu dititikberatkan agar wujudnya situasi menang-menang antara kerajaan dan warga Kampung Baru.

“Nilai RM850 itu mengambil kira kampung Melayu sebagai rizab Melayu, tetapi ia sepatutnya dinilai sebagai bukan rizab Melayu jika menggunakan mekanisme Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Nilai itu juga sama rata bagi semua tanah tanpa mengira lokasi dalam kawasan tersebut,” katanya

Mengulas lanjut, Anuar berkata pemilik dan pewaris perlu diberi peluang mengemukakan tuntutan nilai tanah masing-masing melalui penilai profesional yang dilantik.

“Mungkin kerajaan boleh tanggung fi profesional ini demi keadilan kepada pemilik yang tidak mampu (bayar fi) atas dasar keprihatinan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.