Polis sedang berusaha cari dua remaja perempuan hilang di Petaling Jaya

0
66
KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Polis sedang berusaha mengesan dua remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas meraikan Tahun Baharu Tamil di sebuah kondominium di Jalan Gasing Indah, Petaling Jaya dekat sini.
Natshatra Navinata,15, dan Divyaa Munian, 16, pada mulanya dikatakan ke sebuah kuil berhampiran bagi melakukan upacara keagamaan pada kira-kira pukul 7.00 malam Ahad.

Ibu Natshatra, Sheila Manikam berkata anaknya dan Divyaa kemudiannya pulang ke rumah dan meluangkan masa bersama sebelum Divyaa memaklumkan ingin balik pada kira-kira pukul 10.30 malam.

“Divyaa menempah Grab untuk pulang ke rumahnya dan anak saya temankan dia turun ke lobi tetapi kedua-dua mereka tidak pulang ke rumah sampai sekarang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sheila cuba menghubungi Divyaa kerana anaknya tidak membawa telefon bimbit namun tidak berjaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes ini dan usaha mengesan dua remaja itu sedang diteruskan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here