Polis tahan lelaki dera isteri, anak

0
7

KUALA KANGSAR, 17 Mei — Polis menahan seorang penganggur kerana disyaki mendera dua anaknya masing-masing berumur lima dan 13 tahun di rumahnya di Taman Sri Emas di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Razali Ibrahim berkata suspek lelaki berumur 36 tahun itu ditahan untuk siasatan selepas isterinya berumur 34 tahun membuat laporan di balai polis di sini pada 8.20 malam.

Menurut Razali, wanita tersebut dalam laporannya memberitahu pada kira-kira pukul 6 petang semalam, suspek telah mengamuk dan memarahi anak mereka dengan menarik rambut anak perempuan yang berumur 13 tahun.

Katanya semasa si isteri cuba menghalang, dia telah ditampar pipi kanan sambil rambutnya turut direntap dan kepala dihentak di kerusi selain tangan kiri dipulas ke belakang.

“Anak pasangan itu lari masuk ke bilik dan suaminya telah membaling pakaian ke muka anaknya. Suspek juga menumbuk perut isterinya, menghentak kepalanya di dinding dan mencekiknya sehingga sukar bernafas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya hasil siasatan mendapati suspek sering memukul isterinya dan pasangan tersebut sedang dalam proses perceraian di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar. — Bernama

Malay mail

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here