Skandal BMF, 1MDB sama, kata penulis buku baharu skandal mega

0
119

KUALA LUMPUR: Penulis sebuah buku baharu mengenai skandal kewangan mega berkata, skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) pada 1980-an menjadi duluan yang menyebabkan skandal lain berlaku, termasuk isu 1MDB.

Teh Yik Koon berkata, dalang dalam skandal BMF, di mana berbilion dolar dalam “pinjaman tidak lancar” diberikan kepada ramai spekulator hartanah Hong Kong, menggunakan strategi sama dalam skandal lain, termasuk 1MDB.

“Kerosakan itu meresap dalam kehidupan seharian kita,” katanya pada majlis pelancaran bukunya “From BMF to 1MDB” pada Sabtu.

“Kita sebagai rakyat kerugian berbilion, jika bukan trilion daripada skandal kewangan ini,” kata ahli kriminologi itu yang melakukan kajian ke atas skandal BMF.

Skandal BMF menjadi tumpuan media pada awal 1980-an, selepas anak syarikat Bank Bumiputera di Hong Kong didedahkan memberi “pinjaman tidak lancar” kepada beberapa syarikat mencurigakan, termasuk Carrian Holdings Ltd, konglomerat diterajui George Tan.

Ratusan juta dolar hilang dalam sekelip mata apabila kumpulan Carrian terkubur pada 1983, menjadi kebankrapan paling teruk di Hong Kong.

Bercakap dalam sebuah panel perbincangan mengenai buku itu, aktivis Cynthia Gabriel yang mengetuai Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), bersetuju skandal BMF dan 1MDB mempunyai banyak persamaan.

Beliau berkata, kedua-duanya membabitkan insiden domestik dan asing penuh kontroversi yang mendapat perhatian antarabangsa.

Katanya, kedua-dua skandal itu membabitkan pinjaman diproses tanpa kelulusan sewajarnya dan laporan pasukan tugas dilantik tidak dapat dibahaskan di Parlimen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here