Tutup, pindah 44 SKM ke sekolah berdekatan

0
249

SHAH ALAM: Sebanyak 44 sekolah yang mempunyai kurang daripada 10 murid di seluruh negara akan ditutup dan dipindahkan ke sekolah yang berdekatan dengan kawasan penduduk yang padat.

Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam berkata, daripada jumlah berkenaan sebanyak 22 sekolah adalah sekolah jenis kebangsaan (SJK) Tamil dan selebihnya adalah SKJ Cina dan Sekolah Kebangsaan (SK).

“Saranan Kerajaan Persekutuan untuk memindahkan sekolah kurang murid (SKM) amat disokong kerana perlu ada keseimbangan antara kemudahan yang disediakan dengan keperluan sesebuah sekolah.

“Sebagai contoh, ada sekolah yang mempunyai 1,000 murid dan ada sekolah yang mempunyai kurang daripada 10 murid tetapi masing-masing mendapat kemudahan yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis meletakkan batu asas Dewan Komuniti Sungai Renggam di SJKT Sungai Renggam, di sini, hari ini.

Yang turut hadir adalah Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan.

Subramaniam berkata, proses pemindahan itu akan dilakukan secara berfasa berikutan ia membabitkan kos yang besar kerana terpaksa membina sekolah yang baharu dan sebagainya.

“Proses pemindahan sudah dilakukan di Johor dan Perak di mana sebuah sekolah mempunyai kurang daripada 10 murid, kerajaan membuat keputusan untuk menutup sekolah berkenaan dan memindahkan murid ke sekolah baharu yang dibina di kawasan berpenduduk padat.

“Cabaran tetap ada seperti tentangan daripada ibu bapa dan guru tetapi kita harus lihat apa yang baik untuk murid dan masyarakat sekeliling,” katanya.

Sementara itu, Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan, berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukan sejumlah RM1 juta kepada SJKT Sungai Renggam untuk pembinaan dewan komuniti khusus untuk kegunaan masyarakat India itu.

Katanya, sekolah berkenaan dipilih kerana mempunyai kawasan yang bersesuaian selain rata-rata penduduk di situ adalah masyarakat India.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.